fbpx
HASRIN (tiga dari kanan) menanam pokok bakau sempena sambutan Hari Pemulihan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia di Kampung Pendas Baru, Gelang Patah, Iskandar Puteri hari ini.

MBIP laksana inisiatif Iskandar Puteri Blue Carbon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melalui kerangka Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) telah memperkenalkan inisiatif adaptasi perubahan iklim yang dikenali sebagai Iskandar Puteri Blue Carbon.

Datuk Bandar MBIP, Hasrin Kamal Hashim berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah bagi memulihara dan memelihara ekosistem karbon biru di sekitar kawasan pentadbiran MBIP bersempena dengan sambutan Hari Pemulihan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia di Pendas Laut, di sini.

Menurutnya, Bandaraya Iskandar Puteri amat bertuah kerana memiliki khazanah ekosistem karbon biru di sekitar kawasan perairan seperti hutan bakau dan rumput laut yang mampu mengimbangi kepesatan pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

“Iskandar Puteri Blue Carbon adalah inisiatif proaktif bagi menterjemah komitmen jangka panjang dalam adaptasi perubahan iklim yang digariskan di dalam Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri.

“Inisitif yang bermula pada bulan ini telah menganjurkan aktiviti poket secara bersiri antaranya seperti Aktiviti Tuai dan Semai Bakau, Kelas Ekologi Bakau, Lawatan Ekologi Rumput Laut dan berakhir pada hari ini,” katanya selepas menyertai Aktiviti Penanaman Bakau di Kampung Pendas Baru, Gelang Patah di sini.

Terdahulu, hampir 200 orang sukarelawan daripada kalangan komuniti setempat, warga universiti, kakitangan awam dan swasta telah menanam 300 anak pokok bakau serta membersihkan lebih 150 kilogram sampah di sekitar hutan bakau menerusi Aktiviti Plogging.

Tambah beliau, MBIP telah mula meneroka inisiatif pemeliharaan karbon biru sejak tahun 2021 melalui Geran Komuniti IPRK.

Jelasnya, sejumlah RM105,000 dana telah diperuntukan melalui Geran Komuniti IPRK dari tahun 2021 hingga 2024 sebagai asas pendidikan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan karbon biru melibatkan penerbitan buku Iskandar – Sayangi Ekosistem Paya Bakau dan Adam’s Seagrass Walk Adventure serta inisiatif Pembersihan Pantai Pulau Merambong dan Penanaman Bakau.

“Bagi edisi tahun 2025, Geran Komuniti IPRK telah menawarkan dana berjumlah RM50,000 daripada jumlah keseluruhan RM700,000 untuk projek berimpak tinggi, Blue Carbon Trail yang bakal melaksanakan penyelidikan dan pemetaan hutan bakau secara sistematik di perairan Tanjung Kupang,”katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd Nordin berkata, SWM Environment selaku rakan strategik IPRK melihat aspek kebersihan persekitaran terutama berkaitan pengurusan sisa sebagai antara langkah permulaan yang harus diberi penekanan dalam inisiatif Iskandar Puteri Blue Carbon.

“SWM Environment telah memanfaatkan program Iskandar Puteri Blue Carbon untuk membentuk kesedaran di kalangan para sukarelawan tentang amalan buang sampah ke dalam tong sampah melalui aktiviti plogging yang berjaya membersihkan lebih 150 kilogram sisa di sekitar hutan bakau.

“Malah, SWM Environment menyambut baik usaha para sukarelawan yang mengambil langkah proaktif membersihkan sisa di beting rumput laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI