fbpx
Anwar bersama pemenang kategori Bahasa Melayu pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 tahun 2025 di PICC, Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

‘Kesalahan besar, tapi melihat keadaan Tun, kita usul tak perlu tindakan’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak melangkaui kuasa Peguam Negara.

Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut perlu dijadikan pengajaran seperti kes isu Laut Sulawesi.

Tambah beliau, ia adalah keputusan Kabinet biarpun suruhanjaya siasatan itu mengusulkan supaya laporan polis dibuat terhadap Dr. Mahathir serta tindakan susulan.

“Jadi saya tidak melangkau keputusan Peguam Negara. Keputusan Kabinet, saya sudah melihat misalnya walaupun kesalahan pengkhianatan itu besar tapi melihat kepada suasana dan keadaan Tun, kita mengusulkan tak perlu ambil tindakan.

“Jadi keputusan mendakwa itu tak sampai kerana siasatan tidak dilakukan.

“Siasatan polis menerusi RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara mengusulkan dengan jelas menetapkan kesalahan besar. Tetapi oleh kerana keadaan Tun kita jadikan pengajaran seperti isu Laut Sulawesi dan kita belajar dari pengalaman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahasa Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan ingin membawa usul untuk merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berhubung isu Pulau Batu Puteh, kelmarin.

Beliau berkata, Anwar secara jelas menyatakan Dr. Mahathir bersalah besar sedangkan beliau belum pun dituduh, dibicarakan dan dihukum oleh mana-mana mahkamah atas dakwaan terbabit.

“Kenyataan YAB (Yang Amat Berhormat) Tambun itu juga menunjukkan seolah beliau berkuasa dalam menentukan seseorang itu boleh didakwa di mahkamah atau pun tidak, sedangkan kuasa terbabit secara eksklusif ada pada Peguam Negara seperti mana termaktub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN