PETALING JAYA – Ratusan peserta Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang mula memenuhi kawasan pekarangan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika ini.
Kebanyakan peserta perhimpunan mengenakan pakaian serba hitam dan tertera perkataan ‘Turun Anwar’ dengan lilitan kain putih di kepala.
Bagaimanapun, situasi di sekitar pekarangan pusat beli-belah itu masih aman dan terkawal.
Turut kelihatan, puluhan anggota keselamatan sedang mengawal kawasan terbabit bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Kosmo! difahamkan, peserta mula berkumpul di kawasan tersebut seawal pukul 7 pagi meskipun mereka dijangka bergerak ke Dataran Merdeka kira-kira pukul 2 petang nanti.
Selain Kompleks Sogo, peserta turut berhimpun di empat lagi lokasi lain iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Kampung Baru. – KOSMO! ONLINE