SINGAPURA – Arsenal sudah bersetuju untuk menandatangni Viktor Gyokeres yang dijadualkan menyarung jersi nombor keramat legenda kelab itu, Thierry Henry.
Bintang dari Sweden itu akan memakai jersi No. 14, mewarisinya daripada Eddie Nketiah dan kini hanya menanti urusan ujian perubatan selesai.
Jika segalanya berjalan mengikut apa yang dirancang, Gyokeres dijangka membuat debut dengan Arsenal pada aksi persahabatan menentang seteru setempat, Tottenham Hotspur pada Khamis ini.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta juga mahu Gyokeres segera menyertai rakan sepasukannya dalam kempen pramusim di Singapura dan Hong Kong secepat mungkin.
“Sudah pasti apabila kami berjaya memuktamadkan segala-galanya, kami mampu menyatukannya dengan pasukan secepat mungkin.
“Mengenai Noni Madueke,adalah mustahil kami dapat melakukannya secepat mungkin kerana dia perlukan rehat selepas bermain di Piala Dunia Kelab.
“Saya fikir Noni akan bercuti buat seketika kerana dia mahu terus sertai kami sejurus pulang ke England. Lagi cepat lagi bagus untuk lebih mengenali dan ambil maklum idea yang kami aturkan,” kata Arteta.
Arsenal dijadualkan menentang Newcastle United di Stadium Nasional Singapura malam esok dan terdapat kemungkinan Gyokeres turut berada di venue berkenaan bagi menyaksikan The Gunners beraksi. – AGENSI