PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan menekan butang panik sebaliknya memohon masa dan ruang diberikan buat ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain membina pasukan lebih padu pada masa depan.
Presiden FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub mengakui Piala ASEAN B-23 di Indonesia baru-baru ini bukanlah sebagai ‘kayu ukuran’ memandangkan ia tugasan pertama Nafuzi mengendali pasukan itu di pentas antarabangsa.
Menurutnya, pihak persatuan berpuas hati dengan persembahan keseluruhan yang dipamerkan skuad muda Harimau Malaya meskipun misi ke separuh akhir tidak kesampaian.
“Kita mesti ingat mereka adalah pasukan baharu dengan jurulatih yang baharu. Bagi saya, prestasi mereka dalam kejohanan itu bagus. Hanya perlawanan menentang Filipina kita kurang bernasib baik, tapi atas kertas kita beraksi lebih baik daripada mereka.
“Mungkin tiada rezeki buat skuad negara, namun secara keseluruhan mereka memberikan aksi terbaik. Persiapan pasukan singkat selain perlu mencari persefahaman pemain baharu, jadi bagi mereka masa,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang melihat skuad muda negara masih ada potensi untuk kejohanan antarabangsa yang disertai pada masa akan datang.
“Satu kali tak berjaya, tak semestinya mereka tiada peluang dan pasukan muda ini memang di peringkat pembangunan. Jadi saya minta FAM, jika kita bagi sokongan, jangan tumpu pada satu pasukan sahaja.
“Kita kena jaga pasukan lain juga kerana ini pasukan pelapis yang akan mengambil alih skuad senior satu hari nanti,” katanya.
Skuad B-23 negara akan fokus kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Thailand pada September ini sebelum memburu pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok pada Disember depan. – KOSMO! ONLINE