KUALA LUMPUR – Beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk menjulang gelaran Super 1000 pertama dalam karier mereka apabila mara ke final Terbuka China.
Aaron-Wooi Yik mempamerkan permainan mengagumkan menumbangkan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-13, 21-17 pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Gimnasium Olimpik, Changzhou sebentar tadi.
Kemenangan ke atas gandingan No. 16 dunia itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik akan berdepan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri di pentas final esok.
Lawan mereka itu mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan gandingan tuan rumah yang juga pilihan kelima kejohanan, Liang Weikeng-Wang Chang 21-19, 21-17 di separuh akhir hari ini.
Jika menang, ia akan menjadi gelaran pertama Aaron-Wooi Yik dalam kejohanan bertaraf Super 1000 dan kejuaraan keempat mereka tahun ini selepas Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Bagaimanapun, ia tidak mudah buat bekas juara dunia itu memandangkan mereka akan bertemu Fajar-Shohibul yang baru mula digandingkan minggu lalu Ketika di Terbuka Indonesia. – KOSMO! ONLINE