HONG KONG – Kesilapan penjaga gol, Giorgi Mamardashvili menambah kekecewaan buat Liverpool yang tewas 2-4 kepada AC Milan pada persahabatan pra musim di Stadium Kai Tak, sebentar tadi.
Penjaga gol Georgia itu menjadi bahan jenaka selepas gagal mengawal bola dengan baik hingga berjaya dipintas oleh Noah Okafor untuk mengesahkan jaringan keempat pada masa kecederaan babak kedua.
Terdahulu, Liverpool sekali lagi memberikan penghormatan kepada Diogo Jota apabila jersi yang digunakan turut memaparkan tanda peringatan kepada bekas pemainnya itu yang meninggal dunia ekoran kemalangan jalan raya.
Rafael Leao terlebih dulu meletakkan AC Milan di depan seawal minit ke-10 namun kelebihan itu hanya bertahan 16 minit apabila Dominik Szoboszlai kembali menyamakan kedudukan.
Bersambung babak kedua, AC Milan terus garang apabila menambah dua lagi gol dalam tempoh 15 minit, masing-masing menerusi Ruben Loftus-Cheek pada minit ke-52 dan Okafor, minit ke-60.
Memasuki minit ketiga masa kecederaan, Cody Gakpo meledak gol kedua The Reds namun kira-kira seminit selepas itu, Mamardashvili melakukan kesilapan mudah untuk membolehkan Okafor melengkapkan jaringan keempat AC Milan.
Liverpool akan terbang ke Jepun bagi melengkapkan aksi pra musim di Asia menentang Yokohama F Marinos, Rabu ini sebelum membuka saingan bertemu Crystal Palace pada perlawanan Perisai Komuniti, 18 Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE