fbpx
Gambar hiasan.

Warga asing maut dipukul selepas cuba ragut guru taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Tindakan seorang lelaki cuba meragut berakhir tragedi apabila dipukul sekumpulan individu sehingga maut dalam kejadian di sebuah taman perumahan berhampiran Batu 9 Cheras, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu maklumat awal kira-kira pukul 11.10 pagi melalui panggilan kecemasan berkaitan kes ragut.

Ujarnya, suspek dipercayai cuba meragut seorang wanita berusia 36 yang bekerja sebagai guru tadika di kawasan perumahan tersebut sebelum ditahan oleh orang awam.

“Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati suspek terbaring dalam keadaan cedera tidak sedarkan diri.

“Pihak ambulans dan pembantu pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat kesan dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, hasil siasatan mengesahkan si mati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta dipercayai merupakan warga asing.

“Si mati berkulit cerah dengan ketinggian lebih kurang 160 sentimeter, berpakaian baju t-shirt hitam dan seluar pendek berwarna hitam dengan logo ‘Adidas’.

“Bedah siasat dijalankan pada hari yang sama mendapati punca kematian si mati adalah ‘pending laboratory analysis’ (menunggu laporan lengkap makmal) oleh Pakar Patalogi,” katanya.

Sehubungan itu Naazron berkata bertindak atas maklumat kira-kira pukul 7.46 malam hari yang sama, polis menahan lapan lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 72 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian kematian mangsa bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kesemua individu yang ditangkap dibenarkan reman selama enam hari bermula Rabu hingga Isnin depan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis Daerah Kajang juga menasihati masyarakat untuk sentiasa mematuhi undang-undang dalam melakukan tangkapan serta segera menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya,” katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini atau butiran simati, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN