PADANG BESAR – Di sebalik ketegangan konflik Thailand-Kemboja di Surin, urusan harian di pintu antarabangsa Malaysia-Thailand terus berjalan seperti biasa.
Menurut seorang kakitangan agensi pelancongan, Siti Kholijah Abdullah berkata, keadaan di laluan rel antarabangsa berjalan seperi biasa tanpa ada apa-apa pergerakan luar biasa.
“Ramai penumpang dari Malaysia bertolak ke Hatyai, Thailand dengan menaiki kereta api pada pukul 11 pagi tadi tanpa ada sebarang masalah biarpun mereka tahu ada konflik berlaku antara Thailand dan Kemboja.
“Mengenai kehadiran pelancong, ada beberapa pelancong yang pertama kali ingin ke Thailand membatalkan atau menangguhkan trip kerana bimbang keadaan tertentu seperti sempadan ditutup dan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Padang Besar di sini hari ini.
Tambah Siti Kholijah, bagaimanapun sebahagian besar daripada pelancong tetap meneruskan percutian mereka walaupun dimaklumkan konflik tersebut berlaku kerana beranggapan jarak tersebut jauh dan rata-rata mereka hanya bercuti di Hatyai.
Katanya, mereka turut dimaklumkan oleh rakan perniagaan mereka di Thailand bahawa keadaan di selatan Thailand tidak terjejas dan hanya sempadan Thailand-Kemboja sahaja yang terjejas serta ditutup.
Tinjauan Kosmo di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar juga mendapati urusan perjalanan darat dan laluan dagang beroperasi seperti biasa. – KOSMO! ONLINE