SUBANG JAYA – Polis menahan tiga individu yang dipercayai melarikan seorang lelaki dengan menggunakan sebuah lori di Jalan Persiaran Puchong Permai, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 19 tahun itu diberkas kira-kira pukul 10 malam.
“Tangkapan di Hulu Selangor dan Puchong. Turut dirampas pakaian mangsa serta telefon bimbit mangsa.
“Kesemua suspek akan dimohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) pagi ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai kejadian pergaduhan daripada orang awam sekitar pukul 6.38 petang.
Sebelum ini, tular satu klip video memaparkan situasi cemas apabila seorang lelaki ditolak masuk beberapa individu ke dalam belakang sebuah lori.
Berdasarkan video berdurasi 15 saat itu, turut kelihatan sebuah motosikal yang rebah di atas jalan raya, namun tidak dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan mangsa. – KOSMO! ONLINE