BANGKOK – Thailand terbuka untuk Malaysia menjadi pengantara dalam usaha mencari penyelesaian melalui kaedah rundingan berhubung konflik berdarah dengan Kemboja, kata jurucakap kementerian luar Bangkok, Nikorndej Balankura kepada AFP hari ini.
Kedua-dua negara jiran itu terlibat dalam pertempuran paling sengit sejak lebih sedekad lalu, membabitkan penggunaan artileri dan tentera darat di beberapa bahagian sempadan sepanjang 800 kilometer.
Krisis itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan PBB lewat hari ini dengan beberapa kuasa besar menyeru gencatan senjata dan rundingan diadakan.
Nikorndej berkata, Bangkok terbuka kepada rundingan yang mungkin dibantu oleh Malaysia.
“Kami bersedia, jika Kemboja ingin menyelesaikan perkara ini melalui saluran diplomatik, secara dua hala, atau pun melalui Malaysia (sebagai orang tengah), kami bersedia untuk melakukannya. Namun, setakat ini kami belum menerima sebarang maklum balas,” kata Nikorndej kepada AFP.
Malaysia kini memegang jawatan pengerusi blok serantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang turut dianggotai oleh Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam catatan Facebook lewat semalam bahawa beliau telah bercakap dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Beliau menyeru kedua-dua pihak untuk menghentikan pertempuran dan mencari penyelesaian secara diplomatik.
“Saya mengalu-alukan isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan oleh Bangkok dan Phnom Penh untuk mempertimbangkan jalan ke hadapan ini,” katanya.
Nikorndej berkata, dalam panggilan itu, Anwar berusaha untuk meneroka ‘sama ada kita boleh meredakan keadaan, sama ada ada kemungkinan untuk mengadakan rundingan’.
Bagaimanapun, kedua-dua belah pihak berbalas serangan artileri untuk hari kedua hari ini Phumtham memberi amaran bahawa pertempuran itu boleh berkembang menjadi perang sebenar. – AFP