fbpx
TANG JIE (kanan) dan Ee Wei kempunan ke separuh akhir Terbuka China selepas tewas kepada beregu tuan rumah. - SHIDDIEQIIN ZON

Terbuka China: Kesilapan sendiri jadi punca tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Aksi kurang menjadi terutamanya dalam set kedua membawa padah buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou.

Pada aksi suku akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik hari ini, gandingan No. 4 dunia itu terpaksa akur tewas menerusi keputusan straight set 19-21, 15-21 kepada beregu tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.

Biarpun cuba bangkit mengejar dalam kedua-dua set permainan, namun kesilapan-kesilapan mudah dilakukan memberi kelebihan kepada pasangan tuan rumah untuk mengutip mata demi mata.

Tang Jie berkata, kegagalan menghasilkan pukulan balas yang lebih baik memakan diri sendiri meskipun dia dan Ee Wei sudah menampilkan aksi cukup memuaskan sepanjang perlawanan.

“Saya rasa perlawanan hari ini, kami cuma tewas dari segi pukulan balas. Mereka mendapat banyak mata dari situ tetapi selain itu, kami bermain dengan baik pada perlawanan ini.

“Mengenai gelanggang berangin, saya fikir ia adil untuk semua pemain. Mungkin kami sendiri perlu fikir cara untuk menguruskan situasi berangin seperti itu,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Selepas ini, gandingan yang diberi julukan ‘Gangster Duo’ itu akan menggalas cabaran memburu gelaran Terbuka Macau bermula 29 hingga 3 Julai nanti.

Dalam pada itu, Tang Jie juga menganggap masih banyak aspek permainan perlu diperbaiki sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis pada 25 hingga 31 Ogos depan.

“Apa yang perlu diperbaiki adalah mengekalkan fokus sekiranya bermain secara rali panjang. Saya fikir aspek itu sangat penting untuk kami berdua,” ujar pemain berusia 27 tahun itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI