MADRID – Gergasi La Liga, Real Madrid dikatakan sudah memulakan usaha bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Manchester City, Rodri pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Presiden Los Blancos, Florentino Perez didakwa menjadikan pemenang Ballon d’Or 2024 itu sebagai sasaran utama bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Toni Kroos yang mengumumkan persaraan sebelum ini dan masih belum menemui pengganti tepat.
Real tidak memiliki pemain tengah berkaliber selepas seorang lagi bintang berpengalaman, Luka Modric menyertai AC Milan, ia sekali gus memberi kesukaran kepada jurulatih, Xabi Alonso untuk membentuk skuad terbaik menjelang saingan musim baharu bermula bulan depan.
Memandangkan struktur kewangan Real tidak begitu kukuh pada ketika ini, mereka sedia untuk menawarkan dua pemain berserta yuran perpindahan bagi membawa masuk Rodri ke Santiago Bernabeu.
Difahamkan, pemain sayap, Rodrygo serta pemain tengah, Eduardo Camavinga mungkin akan disenaraikan dalam rundingan bersama City selain yuran perpindahan mencecah £35 juta (RM200.55 juta).
Sementara itu, Real sedar pengurus City, Pep Guardiola sangat meminati corak permainan Rodrygo dan mungkin tertarik dengan peluang untuk membawa masuk pemain sayap lincah Brazil tersebut ke Stadium Etihad.
Bagaimanapun, ia masih di peringkat awal dan belum ada sebarang rundingan rasmi dibuat antara kedua-dua kelab, namun mungkin menjadi kenyataan sekiranya salah satu pasukan mula bertindak. – AGENSI