CHERAS – Penyanyi Wani Kayrie menitipkan doa dan harapan agar sepupunya, Bella Astillah yang kini dikatakan kembali menemui kebahagiaan selepas terlibat dalam beberapa projek bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 25, meskipun mereka kini jarang berhubung atas faktor komitmen kerja masing-masing, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat Bella dalam segala urusan termasuk soal jodoh.
“Secara umumnya, saya gembira untuk dia dan sudah tentu mendoakan yang terbaik untuk apa sahaja yang dia buat dari segi kerjaya dan kebahagiannya.
“Saya tahu apa yang dia lalui dan saya rasa untuk sampai ke tahap bahagia semua orang mahu.
“Saya juga mahu mereka bahagia. Kalau baik-baik sahaja kita tengok sahaja nanti macam mana,” katanya ketika ditemui usai sesi persembahan album terbaharunya, W2K di MyTown Cheras, hari ini.
Tambah pelantun lagu Cak Cak Cekuk itu lagi, dia bagaimanapun sudah lama tidak berhubung dengan Bella kerana sibuk dengan komitmen masing-masing.
“Kami memang sudah lama tak berhubung kerana sibuk dengan kerja. Tapi, saya selalu tengok dia di media sosial, cukup dengan saya rasa dia bahagia, okey lah.
“Saya tumpang bahagia. Selebihnya, kami fokus kepada kerja masing-masing,” ujar Wani yang pernah memenangi tempat ketiga dalam program terbitan TV3, Famili Duo musim kedua pada 2022 bersama Bella sebagai gandingan sepupu.
Selain menampilkan lima lagu iaitu Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan, album W2K turut melalui proses pembikinan yang telah bermula sejak tahun lalu.
Menerusi album tersebut, Wani berganding tenaga dengan barisan komposer ternama termasuk Iqie Hugh, Hanis Rafi, Omar K, Shazriq Azeman, MFMF, Ezra Kong, Shane Kennedy dan Karim Karam. – KOSMO! ONLINE