fbpx
Anggota polis membawa suspek (dua dari kiri) untuk prosiding reman di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini. -Foto ROHANA ISMAIL

Suspek tembak Farrah sembunyi di rumah ibu tiri, kerap ulang-alik rentas Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Lelaki yang diberkas selepas tiga tahun menjadi buruan polis bagi kes pembunuhan wanita mengandung yang ditembak pada perutnya dipercayai bersembunyi di rumah ibu tirinya di Selatan Thailand.

Dalam kejadian pada 3 Jun 2022 itu, mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga ibu tiga anak dibunuh dengan kejam apabila perutnya ditembak sebelum mayatnya ditinggalkan di dalam kereta di tepi jalan di Kampung Teresek, Repek di sini.

Ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 53, berkata, dia difahamkan suspek yang dikenali sebagai Aimay, 24, melarikan diri ke negara jiran itu apabila mengetahui polis memburunya selepas kejadian tersebut.

Katanya, ahli keluarganya mengenali suspek kerana lelaki itu menjalankan perniagaan beras bersama arwah Farrah Emirah selepas wanita tersebut berpisah dengan suaminya.

“Walaupun suspek bersembunyi di Thailand, ramai yang mengatakan dia kerap berulang-alik pulang ke kampungnya di daerah ini melalui pangkalan haram di Sungai Golok.

“Saya dimaklumkan, dia juga masih mempunyai perniagaan di sini sepanjang tiga tahun menjadi buruan polis,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Ahmad memberitahu, tiga anak arwah Farrah Emirah kini dijaga oleh bekas suaminya.

Sehingga kini, Ahmad dan ahli keluarganya masih tertanya-tanya mengenai motif yang menyebabkan suspek sanggup bertindak menembak arwah Farrah Emirah.

“Arwah mengenali lelaki itu selepas dia berpisah dengan suaminya sebelum mereka menjalankan perniagaan bersama. Jika dia yang tembak arwah, kami berharap agar hukuman setimpal dikenakan. Saya mahu polis menjalankan siasatan secara telus terhadap suspek,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki yang diburu berhubung kes pembunuhan wanita hamil tujuh bulan yang ditembak pada perut sebelum mayatnya ditinggalkan dalam kereta di Kampung Teresek tiga tahun lalu akhirnya berjaya diberkas semalam.

Suspek ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am di jalan Bukit Lata di sini kira-kira pukul 7 malam. Lelaki yang berasal dari Kampung Pak Jak di sini itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI