ALOR GAJAH – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang masih berdepan lima pertuduhan di mahkamah termasuk merogol seorang pelajar sekolah, direman semula hari ini selepas disyaki mencabul kanak-kanak lima tahun.
Suspek berusia 32 tahun itu sebelum ini dibebaskan selepas dia yang mengaku tidak bersalah membayar jaminan sebanyak RM25,000 bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu sebutan semula kes pada 26 Jun depan.
Dia bagaimanapun telah ditahan dan direman semula selama lima hari selepas disyaki ‘mengumpan’ seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dengan aiskrim sebelum mencabul mangsa, Januari lalu.
Perintah reman sehingga 29 Julai itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek berusia 32 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada 9 Julai lalu selepas mangsa menceritakan perbuatan suspek kepada ibunya.
“Kejadian dipercayai berlaku di kawasan taman perumahan mereka pada petang Januari lalu apabila mangsa mendakwa suspek yang dikenali ibu dan bapanya telah mempelawanya bersiar-siar di kawasan taman perumahan dengan menaiki kereta.
“Ketika itu mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari tadika. Suspek kemudian dikatakan mengajak mangsa untuk membeli aiskrim sebelum bertindak mencabulnya,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik turut mendakwa suspek sering melakukan perbuatan tersebut.
“Bertindak hasil daripada maklumat, polis kemudian menahan suspek petang semalam bagi mendapatkan perintah reman hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE