fbpx
Abdullah hanya mampu melihat keadaan chaletnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Belongan, Bachok hari ini.-Foto ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

Rugi lebih RM100,000, empat chalet hangus terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Seorang pemilik chalet mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas rumahnya dan empat unit chalet musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Belongan di sini awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu disedari oleh seorang pekerja binaan yang berusia lingkungan 40-an selepas melihat api marak membakar bahagian depan rumahnya.

Pemilik chalet, Abdullah Mohamed, 67, berkata, dia sempat menendang pintu rumah dan mencapai kunci kereta jenis Proton Saga BLM dan memandu keluar untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak sempat mengambil wang simpanan sebanyak RM15,000 yang disimpan di dalam beg di rumah.

“Meskipun mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila rumah dan chalet terbakar, saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Pulau Belongan di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, dia mengesyaki kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas kerana sistem pendawaian di rumah dan chalet itu sudah berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, hanya dua daripada enam buah chalet tidak hangus dijilat api dalam kejadian itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd. Zamizi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.42 pagi sebelum bergegas keluar ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal api yang marak membakar dua buah rumah dan empat chalet dalam tempoh 30 minit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI