PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 29 Oktober ini bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Tarikh rayuan akhir itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof yang dijalankan menerusi Zoom hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi media berkata, pihak-pihak diarahkan memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh dua minggu sebelum pendengaran rayuan.
Sementara itu, peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd. Isa berkata, mahkamah mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan sebelum atau pada 14 Oktober manakala tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 15 Oktober.
Sebelum ini, pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac tahun lalu dan petisyen rayuan pada 26 Jun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan Mohd Isa.
Ia antaranya supaya Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Pada 6 Mac tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021, selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda.
Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar kes itu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.
Mohd. Isa bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Hakim itu berpendapat pembelaan yang dikemukakan Mohd. Isa adalah satu perkara yang difikirkan kemudian, tidak konsisten dan hanya penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.
Mohd. Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kemudian memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.
Sebelum ini, semasa prosiding rayuan 16 Oktober 2023, peguam bela Datuk Salehuddin Saidin berkata, anak guam perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.
Beliau juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.
Bagaimanapun pihak pendakwaan berhujah, Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak iaitu Ikhwan Zaidel dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.
Suapan berkenaan dikatakan diterima Mohd. Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.
Mohd. Isa diikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes selesai. – KOSMO! ONLINE