PUTRAJAYA – Proses pelantikan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi adalah menepati prosedur seperti yang tertera dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tan Sri KSN juga telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa Wan Suraya telah berhenti menjadi seorang penjawat awam pada ketika beliau bersetuju untuk menjadi Ketua Audit Negara.
“Maksudnya, tidak timbul sebarang isu bahawa beliau adalah seorang penjawat awam yang sedang berkhidmat. Beliau tidak lagi menjadi seorang penjawat awam pada ketika beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Audit Negara,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas berhubung kenyataan dikeluarkan oleh beberapa ahli Parlimen ketika membahaskan laporan Ketua Audit Negara yang mempertikai sama ada pelantikan Wan Suraya mengikut tata cara dan berperlembagaan.- KOSMO! ONLINE