SHAH ALAM – Portal pemetaan pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas di Selangor akan dilancarkan pada penghujung tahun ini bagi memudahkan masyarakat memilih lokasi yang berhampiran kediaman mereka.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, ia merupakan sebuah portal dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan data pusat-pusat berdaftar diperoleh daripada Jabatan Perangkaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ia merupakan data dinamik yang boleh kita tambah lagi berdasarkan pendaftaran-pendaftaran baharu.
“Sebagai contoh kita buka geran pusat penjagaan dan mendekati pusat-pusat belum berdaftar untuk diberikan geran. Sekiranya mereka lulus dalam pendaftaran JKM akan terus diletakkan dalam SEJAGAT,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Townhall Dasar Wanita Selangor dan Ekonomi Penjagaan Selangor di sini, hari ini.
Menurut Anfaal, berdasarkan portal itu akan memudahkan penduduk di negeri ini khususnya mendapatkan maklumat dan informasi mengenai premis penjagaan yang diperlukan mereka.
“Kalau seorang anak cari penjagaan ibu bapa yang stroke yang terdekat dalam kawasan penempatan mereka. Itu (SEJAGAT) akan membantu mereka memilih yang bersesuaian,” katanya.
Jelasnya, ia juga bertindak serampang dua mata dalam meransangkan perniagaan bagi penjagaan kesihatan.
“Untuk industri, apabila pemetaan dilakukan, mereka boleh melihat kawasan yang mempunyai potensi dan permintaan tinggi namun penawarannya kurang.
“Jadi, pengusaha boleh bangunkan operasi seterusnya membuka peluang perniagaan dan menambah nilai ekonomi dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE