fbpx
DATUK Kamalludin Ismail melihat orang ramai mendaftar aplikasi mobil Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) ketika sesi Walkabout PJRM KPDN Perak di Bangunan Persekutuan di Ipoh hari ini.

PJRM: Beli berulang untuk untung, peniaga akan dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada golongan peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan melakukan pembelian berulang dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya menyedari terdapat individu yang membeli barangan secara berlebihan dan berulang kali yang kemungkinan untuk dijual semula bagi mengaut keuntungan.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai tidak beretika dan bertentangan dengan tujuan asal penganjuran program yang dirangka untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Ini antara cabaran kita, mereka lihat ada untung jadi ada yang cuba ambil kesempatan sedangkan matlamat asal program ini adalah untuk bantu golongan kurang berpendapatan.

“Dulu kita hadkan pembelian kepada dua unit dan ada permintaan untuk tingkatkan jumlah pembelian, jadi kita benarkan untuk barangan kecil seperti sabun kepada empat unit.

“Sebagai contoh sabun berharga RM35, di Jualan Rahmah mereka boleh beli pada harga antara RM23 atau RM24, jadi mereka boleh jimat RM9 ke RM10,” katanya dalam sidang akhbar pada sesi Walkabout PJRM KPDN Perak di Bangunan Persekutuan di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan pemantauan berjalan lancar, KPDN menempatkan pegawai di setiap lokasi PJRM bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan rakan strategik bagi mengenal pasti pembeli yang mencurigakan.

“Kita dah masuk tahun kedua penganjuran PJRM dan kita sudah kenal pasti mereka yang sering membeli berulang kali. Awal-awal dulu memang banyak peniaga yang terlepas tapi sekarang kita sudah tahu dan beri amaran.

“Mereka akan ditegur dan tidak dibenarkan beratur semula. Amaran telah diberikan dan jika ingkar, mereka akan disenarai hitam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI