PETALING JAYA – “Kalau enam bulan boleh, tapi saya caj lebih sikit dan makanan puan boleh sediakan. Bagi bayi berumur sehingga 12 bulan, RM1,800 sebulan dari pukul 6.30 pagi hingga 7 petang.”
Itu harga yang dikenakan seorang pengasuh di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan menjaga setiap bayi.
Perkara itu dibangkitkan seorang wanita menerusi profil @nadyanudinn yang sedang mencari perkhidmatan pengasuh anaknya di media sosial.
Lebih tidak masuk akal, bukan sahaja bayi perlu dihantar ke rumah pengasuh, malah ada juga kanak-kanak lain yang turut dijaga bersama dengan caj sedemikian.
“Ibu-ibu nak tanya, memang macam ni ke kadar pengasuh di kawasan Kuala Lumpur? Saya baru nak mula tinjau pengasuh sebab sebelum ni selalu dengar ibu-ibu lain bayar tak sampai RM1,000 pun sebulan untuk bayi.
“Bayi saya ada pembantu juga tetapi kadar pengasuh macam ni, baik sambung (guna) pembantu sajalah, lebih kurang harganya,” luahnya.
Perkongsian wanita itu mengundang perdebatan dalam kalangan pengguna yang rata-rata menyifatkan harga dikenakan terlalu mahal.
“Mahal gila. Letak taska yang seminggu lima hari tu pun sebulan baru RM600. (Ni) sampai RM1,800 ditekannya,” ujar @adrianajsmne.
“Saya hantar anak ke playschool di Ampang. 7.30 pagi hingga 6.30 petang (bayar) RM480 sebulan. Yuran pendaftaran RM200 dan anak saya umur 16 bulan,” kongsi netizen yang lain.
“Dah la makanan awak sediakan, gaji asas sebulan ni. Upah pembantu rumah boleh buat kerja rumah. Taska pun tak ada sampai RM1,800 tapi itulah…,” komen @guladankasih. – KOSMO! ONLINE