fbpx
Mohamed Khaled (tengah) ketika meninjau kemajuan pembinaan tiga kapal LMS milik TLDM dekat Istanbul Shipyard di Istanbul semalam.

Pembinaan LMS Kelompok Kedua ikut jadual ditetapkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISTANBUL, Turkiye- Pembinaan tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) Kelompok Kedua untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) dilaporkan mengikut jadual ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, susulan itu, LMS pertama dijangka diluncurkan pada April tahun depan diikuti kapal kedua pada Jun dan ketiga pada Ogos 2026.

“Pembinaan LMS Kelompok Kedua merupakan perolehan pertama selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi perolehan produk pertahanan.

“MoU G2G itu telah dimeterai ketika lawatan rasmi sulung saya ke Turkiye pada Jun tahun lalu.

“Sudah tentunya kemajuan pembinaan ini penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada pendekatan perolehan baharu oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan kemajuan pembinaan tiga kapal LMS Kelompok Kedua di Istanbul Shipyard di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata,
selepas peluncuran ke dalam air, pembinaan kapal terbabit akan memasuki fasa penting iaitu pengintegrasian pelbagai sistem pada kapal berkenaan.

“Selain itu, perolehan itu turut disusuli Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberikan kesan besar terhadap industri pertahanan tempatan seperti melalui pemindahan teknologi.

“Turkiye telah melalui proses yang serupa sebelum menempa nama sebagai salah satu negara pengeluar produk pertahanan.

“Melalui ICP dan secara berfasa, Turkiye berjaya membangunkan industri pertahanan tempatannya,” katanya.

Mohamed Khaled menambah, Malaysia turut mempunyai aspirasi sama dengan mengharapkan hubungan baik kedua negara mampu melonjak industri pertahanan tempatan serta mengukuhkan kedaulatan negara.

Untuk rekod, Kapal LMS Kelompok Kedua milik TLDM dibina berdasarkan kepada reka bentuk kapal korvet kelas-Ada yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi.

Ketiga-tiga buah kapal LMS Kelompok Kedua itu bakal dilengkapi peluru berpandu permukaan-ke-permukaan (surface-to-surface) ATMACA dan sistem pertahanan udara selain mempunyai sesaran kira-kira 2,500 tan, panjang 99.56 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.94 m.

Kunjungan ke Istanbul Shipyard merupakan sebahagian daripada agenda lawatan rasmi tiga hari Mohamed Khaled ke Turkiye.

Dalam lawatan itu, beliau turut menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 anjuran Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MOND) bagi mengukuhkan hubungan bilateral kedua-dua negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN