SEREMBAN – Perjalanan pulang seorang pelajar Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL-MITEC) di Pasir Gudang ke rumahnya di Sungai Gadut, di sini, berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 246.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Nazhan Hilmi Mohd Shah, 20, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa dari arah Johor hendak menghala ke Nilai dengan menunggang di lorong perlahan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dipercayai telah cuba memotong sebuah kenderaan yang masih tidak pasti di hadapannya dan telah terlanggar bahagian belakang sebelah kiri kenderaan tersebut.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi besi sebelah kiri lebuh raya dan mangsa terjatuh di kawasan lorong kecemasan tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohamad Hatta lagi, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihaknya sedang mengesan sebuah lagi kenderaan yang terlibat. – KOSMO! ONLINE