NEW DELHI – Seorang bekas pekerja asing India di Malaysia dikenali sebagai Kani Boy merindui makanan Malaysia seperti nasi lemak dan rojak sehingga membawanya pulang ke kampung halamannya dengan membuka restoran, lapor portal berita MSNews hari ini.
Dia juga berkongsi lebih banyak tentang usahanya di platform TikTok dengan membuat naik beberapa video malah menonjolkan kebolehannya membuat roti canai.
Menu restorannya menyajikan pelbagai jenis masakan klasik Malaysia, daripada nasi lemak, kepada rojak, apam balik dan juga mi soto.
Lucunya, beliau telah memasukkan makanan klasik di rantau Asia Tenggara lain dan menjenamakan semula sebagai Malaysia.
Ia dapat dilihat dengan papan tanda restorannya yang tertulis Tomyam Malaysia.
Kani Boy berkongsi bahawa restorannya mendapat sambutan yang sangat positif.
Netizen juga menyatakan sokongan mereka dengan rakyat Malaysia tampil dalam komen yang memberikan ucapan selamat kepadanya.
Dalam satu video yang disiarkan di TikTok, Kani Boy bercakap dalam bahasa Melayu, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka,” katanya.
“Kami amat berterima kasih kepada anda semua. Terima kasih, Malaysia boleh,” ujarnya. – AGENSI