fbpx
Tangkap layar rakaman memaparkan kegiatan mencuri nozel paip bomba di sebuah pangsapuri di Semenyih baru-baru ini.

Pasangan kekasih giat curi 26 nozel paip bomba dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Pasangan kekasih ditahan polis setelah disyaki mencuri sebanyak 26 unit nozel paip bomba dari 12 tingkat sebuah pangsapuri di Semenyih, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan penyelia pengawal keselamatan pangsapuri tersebut pada pukul 10, 30 Jun lalu.

Ujarnya, berdasarkan semakan di media sosial juga mendapati, terdapat satu video tular iaitu rakaman televisyen litar tertutup dari sebuah rumah memaparkan kejadian kecurian tersebut.

“Nozel paip bomba dipotong dan hilang, disyaki dicuri oleh orang yang tidak dikenal pasti.

“Hasil siasatan mendapati sebanyak 26 unit nozel paip bomba dari tingkat lima hingga tingkat 17 telah dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Naazron berkata, bertindak atas maklumat sepasang kekasih warga tempatan masing-masing berusia 43 dan 44 tahun ditahan semalam, kira-kira pukul 10.30 malam.

Beliau berkata, suspek lelaki mempunyai lapan rekod lampau termasuk narkotik dan jenayah manakala suspek wanita mempunyai 13 rekod lampau termasuk narkotik serta jenayah.

“Ujian urin juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana Balai Polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Sjn Karunagaran di talian 012-2449414 bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI