LONDON – Arsenal terus berbelanja mewah pada jendela kali ini selepas mengesahkan kehadiran pemain pertahanan baharu, Cristhian Mosquera daripada Valencia dengan nilai perpindahan sebanyak £13 juta (RM74.03 juta).
Kehadiran Mosquera menyaksikan The Gunners kini sudah berbelanja hampir £140 juta (RM797.25 juta) apabila turut menandatangani empat lagi pemain seperti Martin Zubimendi, Kepa Arrizabalaga, Christian Norgaard dan Noni Madueke.
Pemain antarabangsa bawah 23 tahun Sepanyol itu teruja dengan kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan diketuai Mikel Arteta dan berharap dapat membantu pasukan mencapai kejayaan musim depan.
“Saya sangat teruja menyarung jersi Arsenal kerana banyak perkara yang perlu dilakukan untuk merealisasi impian ini.
“Secara peribadi, peluang untuk menyertai kelab seperti Arsenal tidak boleh dilepaskan kerana pasukan ini memiliki sejarah yang cukup hebat,” katanya.
Sementara itu, Arteta menganggap Mosquera sebagai pemain pertahanan yang cukup bijak selain boleh mencabar dua tonggak sedia ada seperti Gabriel Magalhaes dan William Saliba untuk merebut kesebelasan utama nanti.
“Mosquera masih muda tetapi sudah memiliki pengalaman beraksi di peringkat tertinggi bersama salah satu kelab hebat di La Liga. Saya harap dia cepat sesuaikan diri dengan kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) nanti,” katanya.
Arsenal tidak terhenti di situ apabila kini menanti untuk mengumumkan kehadiran penyerang idaman, Viktor Gyokeres yang dikatakan sudah lengkap menjalani ujian perubatan.
Selain itu, Arsenal juga berharap untuk melengkapkan urusan perpindahan kali ini dengan membeli bintang Crystal Palace, Eberechi Eze sebagai pembelian ketujuh mereka. – AGENSI