KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan sistem kuota wajib bagi semua pasukan Liga Super menggunakan pemain bawah 23 tahun (B-23) negara dalam skuad utama dijangka tidak dapat dilaksanakan pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd. Shazli Shaik Mohd. mengakui belum bercadang untuk memperkenalkan sistem tersebut, sebaliknya mengambil pendekatan untuk melihat statistik setiap pasukan pada kempen musim baharu nanti.
Menurutnya, pemantauan dan kajian perlu dibuat memandangkan sebelum ini ada platform buat pemain B-23 menyerlah seperti Piala MFL tetapi pada edisi akan datang segalanya bergantung kepada saingan Liga Super.
Kata Shazli, salah satu faktor badan pengelola Liga M itu menutup saingan Piala MFL bagi memastikan pemain muda mendapat lebih banyak tempat beraksi dalam Liga Super.
“Mungkin liga dibarisi ramai pemain tua kerana pada beberapa musim lepas, kita ada Piala MFL. Majoriti pemain muda ada di Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.
“Jadi dengan penutupan Piala MFL pada musim akan datang, kita perlu lihat sama ada pemain muda diberikan peluang dan dapat bermain di liga utama bersama kelab utama.
“Kita kena tengok keputusan daripada pendaftaran (pemain) pasukan nanti. Buat masa ini, masih dalam pendaftaran, ada beberapa kelab yang mula daftar dan ada dalam proses mendaftar. Jadi, kita lihat musim 2025-2026,” katanya.
Kegagalan skuad B-23 negara di pentas Piala ASEAN B-23 2025 di Indonesia baru-baru ini telah membuka mata ramai pihak mendakwa ketiadaan minit permainan yang kompetitif menyebabkan pasukan terkandas di peringkat kumpulan. – KOSMO! ONLINE