JERLUN – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pembinaan pagar penghadang dan penyelenggaraan di Sungai Korok ekoran tragedi lemas mengorbankan enam beranak awal bulan lalu.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kerja-kerja pembinaan penghadang jalan di kawasan itu akan dilaksanakan tidak lama lagi sebagai langkah keselamatan susulan insiden kemalangan maut tersebut.
Beliau berkata, setakat ini JKR mengambil inisiatif awal menandakan laluan tersebut sebagai panduan awal lokasi pembinaan.
“Saya yakin selepas ini, pihak JKR akan memasang penghadang jalan di tepi, dan barulah terusan kita akan dibina di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika selepas menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninjau kemajuan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam di sini hari ini.
Tambah beliau, cadangan pembinaan penghadang jalan di kawasan berisiko tinggi itu juga pernah diketengahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatan beliau ke lokasi terbabit sebelum ini.
“Saya anggap ia cadangan yang amat wajar dan pihak JKR telah menerima serta mengatur langkah susulan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE