LONDON – Liverpool akhirnya mendapat ruang untuk mengadakan perbincangan dengan Alexander Isak selepas penyerang sensasi Newcastle United itu menyatakan hasrat secara terbuka untuk berhijrah pada jendela kali ini.
Sebagai rekod, Isak diberi pelepasan untuk tidak menyertai pasukan pada kempen pramusim di benua Asia ketika ini memandangkan isu masa depannya di St. James Park semakin menemui jalan buntu.
Situasi itu menyaksikan pengurusan The Reds yang dipimpin oleh Arne Slot bersedia untuk sekali lagi memecahkan rekod perpindahan England dengan membuat bidaan rasmi sebanyak £120 juta (RM684.2 juta).
Isak, 26, dilihat sebagai pemain yang bakal melengkapkan jentera serangan Liverpool meskipun juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu baru sahaja mendapatkan penyerang muda, Hugo Ekitike daripada Eintracht Frankfurt awal minggu ini.
Sekiranya perpindahan Isak ke Anfield menjadi realiti, Liverpool bakal memecahkan rekod sendiri selepas menandatangani Florian Wirtz daripada Bayer Leverkusen dengan nilai £116 juta (RM660.4 juta) bulan lepas.
Penyerang antarabangsa Sweden itu yang menjaringkan 62 gol daripada 109 perlawanan buat The Magpies turut menjadi buruan kelab Liga Pro Arab Saudi, Al Hilal yang tidak mempunyai masalah untuk membida sebanyak £150 juta (RM854.1 juta).
Pada awalnya, Isak sedia untuk kekal bersama Newcastle dengan menandatangani kontrak baharu tetapi pihak pengurusan enggan menawarkan gaji sebanyak £300,000 (RM1.70 juta) seminggu sekali gus menjadi pemain termahal kelab mengatasi kapten, Bruno Guimaraes.
Selain Liverpool dan Al Hilal, Isak juga berpotensi untuk berhijrah ke Arsenal selepas ribuan peminat The Gunners menggesa pihak pengurusan membatalkan pembelian Viktor Gyokeres dan fokus mendapatkan penyerang itu yang terbukti lebih berkualiti. – AGENSI