JAKARTA – Seorang lelaki menerima kecaman orang ramai apabila dia dirakam mencuri duit tabung sebuah surau dalam kejadian di Depok, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Kompas semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) di Surau Darrurohmah, daerah Cilodong, Isnin lalu.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform Instagram menunjukkan suspek meletakkan motosikalnya di hadapan surau sebelum bergegas menuju ke tabung tersebut.
Dia kemudian membuka mangga dengan peralatan yang dibawa lalu mengambil wang di dalamnya sebelum beredar.
Ketua Polis Metro Depok, AKP Made Budi berkata, beberapa anggota polis telah dikerahkan ke tempat kejadian.
“Kecurian itu terbongkar selepas pengurus surau melihat tabung tersebut berada dalam keadaan tidak dikunci.
“Pengurus terbabit melihat rakaman CCTV sebelum membuat laporan polis,” tambah Budi. – AGENSI