KUALA LUMPUR – Seorang pembantu tadbir sebuah pejabat kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang pelajar praktikal dengan menyuruh wanita itu mencukur bulu kemaluannya.
Bagaimanapun tertuduh yang berusia 37 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun dengan meminta cukur bulu kemaluan tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat di sini pada pukul 1.58 tengah hari pada 4 April lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Pegawai Pendakwa Inspektor M. Alli Nangai menawarkan jaminan RM5,000 dan tarikh untuk lantikan peguam.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Guaman Kebangsaan Malaysia (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah berikutan lelaki itu kakitangan kerajaan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
“Tertuduh menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak yang salah seorangnya adalah Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa.
Tarikh 3 September ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE