fbpx
ORANG awam berlindung di dalam sebuah gimnasium di Universiti Surindra Rajabhat di sempadan Thailand dalam wilayah Surin hari ini. – AFP

Lebih 100,000 rakyat Thai lari daripada pertempuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Lebih 100,000 orang melarikan diri daripada  pertempuran sempadan paling berdarah antara Thailand dan Kemboja dalam tempoh satu dekad, kata Bangkok hari ini, ketika angka kematian meningkat, manakala kuasa-kuasa antarabangsa mendesak permusuhan dihentikan.

Pertikaian sempadan berpanjangan meletus menjadi pertempuran sengit melibatkan jet, artileri, kereta kebal dan tentera darat semalam. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai krisis itu lewat hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Thailand berkata, lebih 100,000 orang dari empat wilayah sempadan dipindahkan ke hampir 300 pusat perlindungan sementara, manakala kementerian kesihatan mengumumkan bahawa angka kematian meningkat kepada 14 iaitu 13 orang awam dan seorang askar Thai.

Di bandar Samraong, Kemboja yang terletak sekitar  20 kilometer dari sempadan, wartawan AFP melaporkan mendengar bunyi tembakan artileri pagi tadi.

Apabila tembakan bermula, beberapa keluarga membawa anak-anak dan barang-barang mereka ke dalam kenderaan dan beredar.

“Saya tinggal sangat dekat dengan sempadan. Kami takut kerana mereka(tentera Kemboja)  mula menembak lagi kira-kira pukul 6.00 pagi (waktu tempatan),”  kata Pro Bak, 41, kepada AFP.

Dia membawa isteri dan anak-anaknya ke sebuah kuil Buddha untuk mencari perlindungan.

“Saya tidak tahu bila kami boleh pulang ke rumah,” katanya.

Wartawan AFP juga melihat tentera bergegas untuk mengendalikan pelancar roket dan bergerak ke arah sempadan.

Seruan untuk bertenang 

Pertempuran yang meletus menandakan peningkatan dramatik dalam pertikaian berpanjangan antara dua negara berjiran itu dengan  kedua-duanya menjadi destinasi popular untuk berjuta-juta pelancong asing.

Thailand dan Kemboja berkongsi  sempadan sepanjang 800 kilometer.

Di beberapa kawasan pertikaian merangkumi jarak berpuluh-puluh kilometer, pertempuran meletus antara 2008 hingga 2011, menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan puluhan ribu hilang tempat tinggal.

Keputusan mahkamah PBB pada 2013 menyelesaikan isu itu yang berlanjutan selama lebih sedekad  tetapi krisis semasa meletus pada Mei lepas apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran baharu.

Pertempuran semalam pula tertumpu di enam lokasi, demikian menurut tentera Thailand, termasuk di sekitar dua kuil purba.

Tentera darat yang  disokong oleh unit kereta kebal bertempur untuk menguasai wilayah, manakala Kemboja menembak roket ke Thailand dan Bangkok mengerahkan jet F-16 untuk menyerang sasaran ketenteraan di seberang sempadan.

Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain kerana memulakan tembakan, manakala Thailand menuduh Kemboja menyasarkan infrastruktur awam, termasuk sebuah hospital yang terkena peluru dan sebuah stesen minyak yang terkena sekurang-kurangnya satu roket.

Pertempuran semalam berlaku beberapa jam selepas Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil pulang utusannya selepas lima anggota tentera Thailand yang meronda di sempadan cedera terpijak periuk api.

Atas permintaan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk membincangkan pertempuran  berdarah yang berlaku,  kata sumber diplomatik kepada AFP.

Amerika Syarikat menggesa konflik itu dihentikan segera, manakala bekas penjajah Kemboja, Perancis membuat seruan serupa. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI