SINGAPURA – Bintang baharu Arsenal, Martin Zubimendi menganggap pengurus pasukan itu, Mikel Arteta sudah meletakkan The Gunners dalam fasa yang makin sukar digugat.
Zubimendi, 26, dapat mengesan sesuatu yang luar biasa dimiliki Arsenal berdasarkan kualiti dalam kalangan barisan pemain dan turut melabel Arteta sebagai pengurus terbaik di Eropah.
“Sejak hari pertama, saya sudah dapat melihat kehebatan kelab ini dan saya sedang menyesuaikan diri. Apa yang saya dapat lihat tentang dirinya adalah beliau seorang jurulatih terbaik di Eropah.
“Ketika mahu meninggalkan Real Sociedad, saya mahukan jurulatih berkualiti dan saya fikir sudah pun menemuinya. Saya dapat lihat sikapnya yang begitu obses (taktikal bola sepak) dan melakukan kerjanya secara terperinci,” katanya.
Kenyataan Zubimendi seakan berasas selepas The Gunners memulakan pramusim dengan nota kemenangan selepas jaringan tunggal Bukayo Saka menewaskan AC Milan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Singapura kelmarin.
“Saya gembira dengan prestasi pasukan terutamanya sikap, kualiti dan keazaman ditunjukkan pemain sepanjang perlawanan. Berkaitan kualiti individu, Saka beraksi baik dan kami akan terus membantunya,” kata Arteta. – AGENSI
Biarpun menurunkan barisan campuran termasuk beberapa pemain muda berusia 15 tahun seperti wonderkid, Max Dowman, Milan langsung gagal menyaingi Arsenal yang menguasai sepenuhnya perlawanan berkenaan.
Ia sekali gus memperlihatkan kemampuan awal Arsenal untuk benar-benar menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan beberapa trofi lagi musim depan, apatah lagi mereka selepas ini bakal diperkuatkan dengan kehadiran mesin gol Sweden, Viktor Gyokeres. – AGENSI