MUAR – “Kami cukup kecewa dan rasa terhina dengan laporan palsu yang dibuat, pengorbanan kami dipermainkan.”
Demikian luahan Penguasa Kanan Bomba II, Norshuhada Amsari terhadap tindakan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau Ija, 38, dan adiknya Tengku Abdul Aziz, 30, yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan diri sendiri.
Menurut Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor itu, operasi menyelamat yang dijalankan pasukannya di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu telah membahayakan keselamatan anggotanya dan mengganggu keutamaan operasi lain yang lebih penting.
“Lebih 10 kali anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kami menyelam dalam sungai berlumpur, penglihatan terhad serta hampir gelap. Kami menyusur sungai, kebun getah dan ladang kelapa sawit,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan impak tiga muka surat dalam prosiding pertuduhan terhadap dua beradik itu di Mahkamah Majistret di sini pada hari ini.
Majistret Suzana Mokhtar membenarkan Norshuhada, yang juga komander operasi ketika itu, menyampaikan kenyataan berkenaan selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan palsu.
Menurut Norshuhada, tindakan dua beradik itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian dari segi aset dan kos logistik seperti penggunaan bot penyelamat, jentera operasi, peralatan menyelam, dron serta bahan api.
“Lebih mengecewakan, laporan palsu itu mengganggu operasi kami yang sepatutnya ditumpukan kepada kes sebenar membabitkan seorang mangsa yang terjatuh dari jambatan Sungai Gersik pada 17 Julai.
“Kami amat kecewa kerana diperalatkan. Ia menjejaskan moral dan kredibiliti pasukan, serta kepercayaan masyarakat terhadap JBPM,”katanya.
Beliau berharap tindakan tegas dikenakan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mempermainkan agensi penyelamat.
Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 terhadap Tengku Nizaruddin dan Tengku Abdul Aziz selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam.-KOSMO! ONLINE