KUCHING – Jerebu rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia kini mula melanda Sarawak, dengan kawasan Lundu dan Tebedu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat.
Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, melalui pencerapan data IPU dari Stesen-Stesen Pemantauan Kualiti Udara yang dikendalikan oleh NREB di sepanjang sempadan Sarawak dengan negara jiran setakat pukul 8 pagi hari ini, kawasan Lundu mencatatkan IPU 125 (Kategori Tidak Sihat) dan Tebedu mencatatkan IPU 69 (Kategori Sederhana).
“Kebanyakan titik panas yang dikesan di negara jiran adalah berdekatan dengan kawasan Lundu dan Tebedu,” katanya menerusi kenyataan.
Menjelas lanjut, NREB Sarawak berkata peningkatan jumlah titik panas yang mendadak terutama di kawasan sempadan akan meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan.
Di samping itu, katanya ramalan pergerakan jerebu rentas sempadan yang dijalankan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menggunakan Model HYSPLIT dapat menunjukkan ramalan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam.
“Berdasarkan analisis agensi tersebut pada 21 Julai 2025, trajektori asap jerebu dari negara jiran dijangka memberikan kesan jerebu impak sederhana terutamanya di barat Sarawak bagi tempoh ramalan,” katanya.
Justeru sebagai langkah pencegahan proaktif, NREB Sarawak berkata telah menjalankan aktiviti rondaan dan pemantauan fizikal termasuk menggunakan dron di kawasan mudah terbakar, khususnya kawasan pertanian, tanah gambut, kawasan semak samun serta tapak pelupusan sampah yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kebakaran. – KOSMO! ONLINE