PEMILIHAN Singapura yang hanya berada di ranking 159 dunia tidak wajar dianggap sebagai jalan selamat buat Harimau Malaya untuk meraih kemenangan ‘mudah’ dalam jendela perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada September ini.
Begitupun, pengendali negara, Peter Cklamovski menafikan andaian berkenaan kerana mahu menghormati pasukan lawan dan tekad menjadikan perlawanan itu sebagai medan untuk menterjemahkan ideanya buat Harimau Malaya.
“Tidak (pilihan selamat untuk raih kemenangan), Singapura tetap lawan yang sukar dan kita kena hormati mereka.
“Apa yang kita fokus pada kali ini adalah untuk jadi yang terbaik ketika berdepan lawan sukar sebelum hadapi cabaran selepas ini.
“Menentang Singapura menjanjikan detik penuh emosi kerana ia adalah aksi derbi dan kami tidak sabar menantinya. Jangan leka dengan kejayaan tewaskan Vietnam kerana semua itu sudah pun berlalu.
“Semuanya tentang apa yang dilakukan untuk masa depan di mana kami perlu tingkatkan lagi kualiti. Segalanya untuk menguatkan minda bagi membolehkan kami terus tingkatkan kualiti pasukan,” katanya.
Harimau Malaya sebelum ini mengambil keputusan menarik diri daripada beraksi Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 dan sebagai gantinya, Harimau Malaya akan menentang Singapura dan pasukan No. 98 dunia, Palestin.
Pemilihan itu dikritik sebahagian besar peminat kerana merasakan Harimau Malaya sepatutnya menentang pasukan lebih ternama berbanding Singapura.
Mereka beranggapan aksi menentang Singapura mungkin tidak memerlukan tenaga pemain warisan berpangkalan di Amerika Selatan dan Eropah seperti Rodrigo Holgado (Colombia), Imanol Machuca (Argentina) serta Facundo Garces (Sepanyol).
Namun, ia tetap dilihat sebagai tugasan penting buat Cklamovski untuk mengukuhkan kualiti pasukan sebelum meneruskan saingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober dan Nepal (18 November).
“Andai kata ke CAFA 2025, saya sudah nyatakan mentaliti saya untuk menang. Semua itu sudah jadi berita basi dan di depan kita selepas ini adalah pertemuan dengan Singapura dan Palestin.
“Kami mahu tewaskan kedua-duanya dan itulah yang kita mahu lakukannya sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE