PETALING JAYA – Kecekalan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sanggup berulang-alik sejauh 200 km setiap hari untuk ke tempat kerja meraih pujian netizen di media sosial.
Menerusi perkongsian oleh Ustaz Hanafiah di Instagram, lelaki terbabit dikatakan telah melakukan rutin tersebut selama 12 tahun dengan menaiki motosikal dari Raub, Pahang ke Kuala Lumpur dengan membawa sepasang tongkat.
“200km sehari ulang alik kerja di Raub ke Kuala Lumpur selama 12 tahun. Katanya janji rezeki halal,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Rata-rata orang ramai di ruangan komen kagum dengan usaha lelaki tersebut serta mendoakan kesihatannya agar sentiasa berpanjangan.
“Hebatnya abang ini, semoga Allah permudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik-baik,” ujar Fauziah Ladin.
“Tabah betul dia sebab dia tahu Allah itu ada, yang maha pengasih dan maha penyayang,” kata Ejalajer.
Orang ramai berkongsi pengalaman masing-masing berulang-alik ke tempat kerja dengan jarak yang jauh demi mencari rezeki.
“Pernah hadapi situasi yang sama berulang dari Kuala Klawang ke Bangi hampir 10 tahun. Masa itu kita pakai motosikal biasa sahaja,” balas Denladin2769.
“Teringat arwah pak cik dulu, kerja sebagai pengawal keselamatan. Pukul 5 pagi dah gerak ke KL dari Raub, pukul 7 petang balik Raub sampai pukul 9 malam. Sedih rasanya, hujan atau apa dia tetap pergi kerja,” komen Brada Mie. -KOSMO! ONLINE