fbpx
FUZIAH (dua dari kanan) meninjau harga barang di sebuah pasar raya di Alor Setar, hari ini.

Guna MyKad beli RON95 direkod, kesan pembelian luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Penggunaan MyKad dalam pembelian petrol RON95 bukan sahaja memastikan hanya rakyat Malaysia dapat menikmati subsidi bahan api itu, malah mampu mengesan transaksi luar biasa bagi mengelak ketirisan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh berkata, setiap pembelian RON95 menggunakan MyKad akan terus direkodkan dalam sistem.

Justeru katanya, pemantauan dapat dilakukan dari semasa ke semasa dan siasatan akan dibuat sekiranya terdapat pembelian secara luar biasa.

“Kalau seorang individu itu kegunaannya (dalam jumlah) sekian, tetapi kalau mereka beli lebih daripada itu untuk satu kereta, tentu sekali kita akan ambil perhatian tentang perkara itu.

“Jadi ia secara tidak langsung akan mengekang ketirisan, sebab kena guna MyKad, jadi tak boleh nak lebih. Kita boleh kesan (pembelian) guna MyKad setiap hari, jadi ada rekod,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai pemeriksaan harga barang pada Ops Kesan 4.0 peringkat negeri di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga akan memberi perhatian kepada kemungkinan MyKad disalahgunakan warga asing untuk mengisi kenderaan luar untuk pembelian bahan api bersubsidi tersebut.

“Jika berlaku pembelian oleh kenderaan asing atau ada warga asing guna MyKad, itu antara bentuk salah guna yang kita pantau rapi,” ujarnya.

Tambahnya, langkah penggunaan MyKad tersebut dilihat berupaya membanteras ketirisan terutama kegiatan penyeludupan bahan api di kawasan sempadan negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan memantau harga barang dari semasa ke semasa bagi mengesan sebarang perubahan harga disebabkan pelbagai faktor termasuk peperangan antara Thailand dan Kemboja ketika ini.

“Isu-isu global ini mungkin ada kesan kepada harga barang, jadi penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan memantau harga setiap hari, kita ada pangkalan data dan graf, jadi boleh lihat trend.

“Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak normal, kita akan dapat kesan dengan cepat. Setakat ini tak ada (kesan),” katanya.

Dalam pada itu, kata Fuziah, sebanyak 950 premis telah diperiksa melibatkan 3,965 Unit Penyimpanan Stok (SKU) sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 di seluruh negara bermula 1 Julai lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 950 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta 723, selain KPDN juga menerima sebanyak 23 aduan untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI