JAKARTA – Gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 menggegarkan beberapa kawasan di wilayah Sulawesi Tengah, lapor laman berita Kompas semalam.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berkata, gempa belaku sekitar pukul 8.06 malam (waktu tempatan).
Pusat gempa direkodkan kira-kira 70 kilometer ke barat daya Poso dengan kedalaman 10 kilometer.
Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Wilayah Sulawesi Tengah, Akris Fattah berkata, gegaran memusnahkan sejumlah kediaman di Pamona Tenggara dan Pamona Selatan.
“Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.
“Orang ramai bergegas keluar dari rumah mereka semasa kejadian. Kebanyakan penduduk kekal berjaga-jaga dan tinggal di luar kediaman.
“Di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Poso, petugas-petugas kesihatan membawa pesakit keluar ke pekarangan hospital,” tambah Akris.
Ketua Badan Geologi, Muhammad Wafid berkata, gegaran turut dirasai di beberapa kawasan temasuk Toraja, Mamuju dan Palu. – AGENSI