ALOR GAJAH – Seorang duda berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul dan menunjukkan kemaluannya kepada dua anak perempuan tirinya masing-masing berusia lima dan enam tahun, sejak Mei lalu.
Tertuduh membuat pengakuan tersebut sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di dalam bilik dan bilik air di sebuah rumah di Taman Seri Pelangi, Rumbia dalam daerah Alor Gajah pada waktu malam antara 11 Mei dan 5 Julai 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Tertuduh juga dituduh mengikut Seksyen 15(a)(i) AKSTK 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada dua mangsa sama di dapur rumah pada tarikh yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan setiap minggu dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa.
Peguam Mohd. Anif Rafih yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan berjumlah RM12,000 diberikan dengan alasan tertuduh yang juga seorang duda bekerja sebagai pembantu pemasaran dalam talian produk kosmetik dan memperoleh RM2,000 sebulan.
Katanya, tertuduh turut menanggung kedua-dua mangsa dan seorang anak kandungnya berusia dua tahun yang kini dijaga oleh ibunya di Pendang, Kedah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE