fbpx
MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa terbabas di Kilometer 17 Jalan Sungai Koyan - Pos Betau, dekat Sungai Koyan di Lipis.

Dua maut dalam dua kemalangan berasingan di Lipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Dua individu maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku dalam tempoh kurang daripada tiga jam di daerah ini, semalam.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 2.30 petang, seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha XMAX yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 17 Jalan Sungai Koyan- Pos Betau, dekat Sungai Koyan di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa, Wan Ahmad Kamarul Redzuan Razali, 38, yang merupakan penyelia di sebuah kedai pembekal alat tulis di Kuala Terengganu dipercayai dalam perjalanan dari Putrajaya ke Cameron Highlands atas urusan kerja.

“Siasatan awal mendapati ketika melalui selekoh, mangsa gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, kejadian kedua kira-kira pukul 5 petang di Kilometer 37 Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), dekat Kampung Sungai Yu, menyaksikan seorang wanita berusia 51 tahun maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sendiri dan terbalik ke dalam semak.

Katanya, ketika kejadian mangsa, Zainab Mamat yang merupakan seorang suri rumah memandu kereta pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Lipis selepas mengambil dua anaknya untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Persit, Merapoh.

“Setibanya di lokasi kejadian mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar longkang di tepi jalan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbalik di dalam semak dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”ujarnya.

Beliau berkata, dua anak mangsa, berusia 19, dan 14 tahun mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Merapoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN