KUALA LUMPUR – Dua dalang geng samun dan pecah rumah yang disyaki sedang mencari sasaran baharu dengan bersenjatakan pistol tumpas selepas maut ditembak dalam Ops Aman 6, di Jalan Semerah Padi, Cheras, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua warga asing itu berjaya dipintas polis sebelum berlaku halangan serta aksi tembak-menembak menyebabkan dua suspek maut di lokasi kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika kejadian, suspek sedang menaiki Honda Civic berwarna putih yang dicuri pada 2023 di Subang Jaya, dan dipercayai sedang mencari sasaran di kawasan itu.
“Dua lelaki berkenaan dipercayai perancang utama kumpulan berkenaan melibatkan 50 kes dan kerugian lebih RM3 juta.
“Mereka dipercayai aktif terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dan Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid.
Fadil berkata, kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 15 ahli dan aktif melakukan kegiatan jenayah samun, pecah rumah dan aktiviti berkaitan dadah sejak 2022.
Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan pelbagai peralatan pecah rumah, sejumlah dadah, dan dua senjata api revolver serta senjata api semi automatik.
Menurutnya, modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun rumah banglo unit ‘end-lot atau corner lot’ dengan menggunakan senjata api dan parang.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat sejumlah dadah di dalam kenderaan serta peralatan pecah rumah, lengkap dengan ‘grinder’ dan mesin.
“Turut ditemukan ‘balaclava’ (topeng) serta sarung tangan. Setakat ini tiada kecederaan di pihak polis,” ujanrnya.
Menurutnya, siasatan awal mendedahkan bahawa mereka adalah warga asing sah yang sudah menetap lama di Malaysia.
Justeru, beliau berkata, polis sedang memburu baki ahli kumpulan terbabit dan dijangka akan melakukan beberapa tangkapan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE