PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada susulan cuaca kering yang berupaya meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu ketika ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, keadaan itu juga berisiko menjejaskan kesihatan penduduk khususnya golongan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
“Ini kerana keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menitahkan pihak berkuasa untuk terus mempertingkatkan rondaan jika terdapat aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara. – KOSMO! ONLINE