PETALING JAYA – Seorang doktor baru-baru ini berkongsi pengalaman di platform media sosial X apabila tiga pesakitnya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) meninggal dunia akibat komplikasi yang didakwa berkaitan dengan pengambilan berlebihan buah durian.
Menurut @JazeeraJulaili, kejadian tersebut berlaku disebabkan pesakit-pesakit yang sedang menjalani hemodialisis (HD) tersebut mengambil durian yang mengandungi tahap kalium (potassium) yang tinggi secara berlebihan.
“Saya baru kehilangan tiga pesakit daripada ESRD, hanya kerana durian,” jelasnya.
Dalam hantaran susulan, doktor berkenaan menjelaskan bahawa pesakit ESRD perlu membataskan pengambilan makanan tertentu, terutama buah-buahan kaya kalium seperti durian, terutama semasa menjalani dialisis.
“Pengambilan buah tinggi kalium yang terlalu banyak, di samping jumlah kalium yang sudah tinggi dalam darah, boleh menyebabkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku, termasuklah henti jantung,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa amaran ini khusus untuk pesakit ESRD dan tidak terpakai kepada populasi umum.
“Durian sangat sukar nak ditolak,” ujar @abd_jabbar.
“Alhamdulillah aku kurang minat makan durian. 1/2 biji dah,” kata @Rainism.
“Sebab itu apa-apa makan kena berpada-pada,” kata @AimanAirin. – KOSMO! ONLINE.