fbpx
Tangkap layar perkongsian pengguna media sosial yang mengikut trend 'S-Line' inspirasi daripada satu drama Korea.

Trend ‘S-Line’ drama Korea buka ruang dosa, fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hukum terlibat dalam budaya ‘S-Line’ dan perbuatan menzahirkan aib secara sengaja dan terbuka adalah haram kerana ia membuka ruang kepada dosa, fitnah dan kerosakan sosial yang lebih besar.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi penerangan pada Bayan Linnas menjelaskan, ‘S-Line’ yang tular di media sosial inspirasi daripada drama Korea digunakan untuk mendedahkan kisah aib dan pengalaman seksual secara terbuka, sekali gus mencabar ajaran Islam dan nilai budaya timur.

Menurutnya, ia merupakan satu bentuk normalisasi maksiat yang berselindung di sebalik naratif hiburan.

“Trend ‘S-Line’ bukan sekadar melanggar batas moral, malah bertentangan dengan tujuan syariah dalam membentuk kehidupan beragama dan membina masyarakat berakhlak serta sejahtera.

“Ia meruntuhkan sifat malu, menghilangkan sensitiviti terhadap dosa serta merosakkan struktur masyarakat bermaruah. Berdasarkan panduan wahyu yang jelas, sesiapa cenderung kepada penyebaran maksiat akan dikenakan azab pedih di dunia dan akhirat, meskipun hanya dalam bentuk kecenderungan hati,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, umat Islam wajib menolak budaya ini dengan ilmu, iman dan dakwah berhikmah.

“Sebagai langkah pencegahan, institusi keluarga, sekolah, media dan pihak berautoriti disaran memperkukuh pendidikan akhlak, memperketat kawalan kandungan digital serta memperluas kempen kesedaran agar maruah umat dan nilai agama sentiasa terpelihara,” kata PMWP.

Mengulas lanjut, PMWP menjelaskan, penyebaran kandungan seperti ini khususnya kepada golongan muda dan pengguna media yang mudah terpengaruh, berisiko merosakkan akhlak serta melemahkan maruah umat Islam.

“Fenomena penyebaran maksiat secara terbuka dalam masyarakat Islam kini bukan lagi isu akhlak peribadi semata-mata, tetapi menjadi ancaman serius terhadap akidah dan kestabilan sosial.

“Dalam era digital sarat dengan budaya hiburan, maksiat dinormalisasi melalui gurauan, konten ringan dan gaya hidup bebas, hingga dosa bukan sahaja dilakukan, malah dibanggakan serta dipromosikan tanpa rasa bersalah.

“Lebih parah apabila masyarakat mula menerima keburukan itu sebagai perkara biasa, lalu hilang sensitiviti terhadap dosa,” kata kenyataan tersebut.

Baru-baru ini, tular di media sosial trend ‘S-Line’ iaitu inspirasi daripada drama Korea menceritakan kisah seorang gadis mempunyai keupayaan melihat garis merah di atas kepala seseorang.

Garisan merah tersebut menggambarkan jumlah atau kekerapan hubungan seksual dilakukan individu berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN