GEORGE TOWN – Polis menerima arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk melengkapkan siasatan berhubung kes seorang doktor yang ditahan sebanyak empat kali selepas disyaki mencabul pesakit wanita.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, tiga daripada kes itu dilaporkan di daerah Timur Laut, manakala satu kes lagi berlaku di daerah Barat Daya.
“Polis melengkapkan siasatan dan dihantar ke pejabat TPR. Baru-baru ini, kita terima arahan daripada pejabat TPR untuk lengkapkan siasatan kes-kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mohd. Alwi berkata, bagaimanapun pihaknya masih menyiasat kes di daerah Barat Daya ketika pelakunya sedang menjalankan tugasan doktor ‘locum’.
“Doktor itu bertugas di sebuah hospital kerajaan di daerah Timur Laut sebelum ini sebelum dipindahkan ke klinik kerajaan di daerah Barat Daya,” ujarnya.
Pada Selasa lalu, Kosmo! melaporkan seorang doktor yang pernah ditahan tiga kali kerana disyaki mencabul pesakit wanita, sekali lagi diberkas berhubung kes sama di sebuah klinik swasta di Bayan Baru.
Doktor berusia 43 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam, Isnin lalu selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita. – KOSMO! ONLINE