KOTA BHARU – Dunia seni lukis tanah air kehilangan seorang tokoh tersohor apabila Yang Dipertua Persatuan Seni Lukis Kelantan (Peseni), Ismail Kadir, 73, meninggal dunia akibat komplikasi serangan jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini semalam.
Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 petang selepas menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 23 Mei lalu.
Bekas Yang Dipertua Peseni, Muhammad Jusoh berkata, pemergian Ismail merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni lukis tanah air khususnya di Kelantan.
“Arwah bukan sahaja disegani di peringkat tempatan, malah beliau merupakan antara lima pelukis terbaik Asia yang diiktiraf oleh majalah seni terkenal Amerika Syarikat, The Plein Air baru-baru ini.
“Pengiktirafan antarabangsa itu merupakan kemuncak kepada karier profesional Ismail dalam bidang seni lukis yang mengharumkan nama negara dan negeri Kelantan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, arwah Ismail dilahirkan di Pasir Puteh memulakan kerjayanya sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Selising sebelum mengambil keputusan meninggalkan profesion perguruan untuk menceburi bidang kontraktor binaan.
Beliau berkata, jiwa arwah lebih tertumpu pada dunia seni lukis apabila beliau akhirnya menjadi pelukis sepenuh masa di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
“Arwah merupakan graduan seni dari Universiti Sains Malaysiamula menerajui Peseni sebagai Yang Dipertua sejak 2017 sehingga menghembuskan nafas terakhirnya semalam.
“Ismail banyak mengangkat martabat pelukis tempatan selain membuka ruang kepada generasi muda untuk berkarya secara lebih berani dan tersusun,” katanya.
Jenazah Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Rambai di sini pada pukul 9.30 malam tadi. – KOSMO! ONLINE