PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan tiada istilah ‘dadah magic mushroom’ dalam cecair vape seperti dakwaan tular sebelum ini.
Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata ia berdasarkan ujian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia terhadap dadah yang dirampas pihaknya.
Jelasnya, dakwaan tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halusinogen semulajadi adalah tidak tepat malah ia merupakan manipulasi oleh pengedar yang melabelkan bahan sintetik sebagai ‘cendawan ajaib’.
“Setakat ini, pihak berkuasa hanya mengesahkan kewujudan bahan sintetik dalam vape dan rokok elektronik.
“Tiada bukti rasmi ditemui mengenai penjualan cendawan kering sebenar atau campuran dadah dalam coklat atau gula-gula seperti yang digembar-gemburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, trend penggunaan vape yang dikaitkan dengan ‘magic mushroom’, bahan yang mengandungi dadah sintetik dalam kalangan ramaja mendapat perhatian pihak berkuasa termasuk JSJN sejak sekian lama.
Demi menjaga kepentingan umum, jelasnya, isu ini mendapat perhatian pihak berkuasa kerana melibatkan pelajar sekolah yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan meragukan, termasuk bahan jenis ‘mushroom’.
“Kejadian seperti ini, walaupun terpencil, telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pelajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE