fbpx
Saifuddin Nasution pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke NSRC di Sasana Kijang, Kuala Lumpur hari ini.Foto SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Tiada bukti kukuh keberadaan Jho Low di China – KDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan keberadaan dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low dikesan di China.

Bagaimanapun kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya akan bekerjasama erat dengan pihak agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa.

“Setakat ini dakwaan mengenai lokasi dan juga penggunaan pasport individu yang disebut itu (Jho Low) belum ditemui fakta sokongan ataupun mana-mana bukti yang sah dan sahih.

“Kalau jumpa kita beritahulah, kalau tidak kita kena (beritahu) tidaklah. Saya juga nak beritahu bahawa kerjasama erat kita dengan agensi luar negara sentiasa berjalan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas mengadakan lawatan ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, dakwaan oleh dua wartawan penyiasatan terkenal antarabangsa iaitu Bradley Hope dan Tom Wright juga adalah hanya laporan sahaja dan tidak disokong oleh mana-mana bukti yang sahih.

“Kalau ada perkara (bukti sahih) baru saya lapor,”katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua wartawan penyiasatan terkenal, Bradley Hope dan Tom Wright, mendedahkan bahawa Jho Low dipercayai kini menetap di kawasan eksklusif Green Hills, Shanghai, serta beroperasi dari sebuah pejabat di Pusat Kewangan Shanghai.

Laporan yang dikemukakan dalam siaran langsung Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright pada Jumaat itu turut menyatakan bahawa Jho Low menggunakan pasport Australia palsu dan memandu kenderaan mewah di sana.

Lebih mengejutkan, pendedahan tersebut turut mendakwa bahawa individu utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI